Bila terbaca artikel Dr Imelda Balchin, terflash back lah pula pengalaman aku pertama kali berpantang secara caeser. Anak yang lain sebelum ni semua bersalin secara normal. Yang bongsu ni ketentuan Allah, aku terpaksa di tolak ke dewan bedah.
Bius separuh badan dan aku boleh rasa bahagian perut sedang di bedah cuma tak rasa sakit. Dan mungkin rezeki aku, jam 11 malam... dari pakar bius hinggalah ke doktor, semuanya wanita. Kecil molek je semua.
Sambil baring, aku berdoa semoga dipermudahkan urusan sepanjang proses pembedahan. Lega bila dengar suara tangisan Hudzaifah.
Bab berpantang, aku pilih konsep jaga diri dan pemakanan untuk kembali sihat dan luka cepat sembuh. Ngeri tengok kesan bedah fresh yang masih bengkak. Walaupun kesan tersebut dah dijahit, tertutup elok dan kemas. Doktor siap spray plaster. Ye plaster tapi jenis spray. Memang kalis air walaupun aku sendiri tak yakin. Cuak giler. Hahaha...
Selepas beberapa hari, bengkak caeser pun dah surut elok, barulah timbul rasa selesa dan yakin yang aku boleh harungi berpantang secara caeser.
Semoga tips yang doktor share ni, bermanfaat untuk korang yang bakal atau sedang berpantang semasa MCO.
Tips berpantang selepas bersalin dalam MCO.
1) Jangan stress.
2) Duduk di rumah, selagi tak perlu ke klinik/hospital.
3) Jangan benarkan orang datang berkunjung
4) Jangan pi shopping. Boleh beli barangan baby online.
5) Jangan pi shopping. Minta suami beli makanan keperluan atau order grab food.
6) Nak makan ketupat tak salah, nak makan rendang tak salah, nak makan laksa tak salah, selagi tiada alahan, janji suami tak merokok!
7) Orang tak boleh datang mengurut, tak apa, boleh buat stretching exercises untuk membantu pengaliran darah dan mengurangkan lenguh-lenguh badan.
8) Orang tak boleh datang urut rahim dan bertunku, tak apa, rahim akan kecut sendiri juga.
9) Tak ada orang datang tolong buat berpilis bertangas? Berpilis dan bertangas tak payah buat pun takpa, dan boleh buat Sitz bath air suam bergaram sendiri.
10) Susah nak bergerak pakai bengkung ketat-ketat? Tak payah pun pakai bengkung untuk kesihatan.
11) Susah nak pantang makan bila order grab food, tak apa, memangpun nasihat perubatan ialah ibu yang baru bersalin tak payah pantang telur/ayam/seafood/sayur-sayuran/buah-buahan kecuali jika ada alahan. Boleh tukar-tukar menu, tak payah cari ikan kering saja, boleh makan ikan-ikan fresh.
12) Ibu dahaga dan kepanasan? Boleh minum air secukupnya dan tiada larangan perubatan buka kipas atau aircond. Yang penting bayi jangan kesejukan.
13) Banyak kerja nak pakaikan barut? Dalam perubatan, tak payah pun barut bayi. Tiada pun barut bayi baru lahir di hospital-hospital sebab tak perlu. Tak payah susahkan diri sendiri.
14) Tak boleh jalan naik tangga? Siapa kata tak boleh? Zaman sekarang bersalin di hospital, kalau ada koyakan dijahit, di jahit dengan benang synthetic bukan benang catgut dan sembuh lebih cepat dari arwah Nenek zaman dulu yang bersalin di rumah.
15) Tak ada orang datang buat sengkak rahim? Tak perlu. Kalau takut rahim/peranakan jatuh, belajar buat senaman Kegels, boleh buat sendiri setiap hari, memang berkesan.
16) Tak boleh bangun? Siapa kata tak boleh? Zaman sekarang bersalin di hospital, kami tak benarkan dan kami hentikan pendarahan banyak, beri transfusi jika perlu sebelum pulang supaya ibu-ibu tidak lemah kerana kekurangan darah.
17) Kena pantang makan sebab takut kancing gigi? TAK payah dah zaman ini jika anda sudah terima vaksin ATT di klinik semasa hamil. Ini berkesan mencegah kancing gigi, buat apa nak susahkan diri berpantang macam zaman dulu.
18) Makcik-makcik sebuk nak suap mulut bayi baru lahir dengan makanan? Senang je, tak payah bagi makcik-makcik datang.
19) Orang suruh beli bermacam barang overclaim untuk kesihatan yang tidak dicadangkan oleh doktor? Nasib baik mereka tak boleh berkunjung dan boleh simpan duit masa darurat ni.
20) Sejak darurat ni pendapatan berkurangan, tak ada duit nak beli set berpantang? TAK apa, tak perlu pun, janji amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang tanpa berpantang makanan yang berkhasiat.
21) Tak ada siapa boleh tolong buat kerjarumah, tak apa, rumah semak tak kisah lah, tak ada siapa datang menjenguk pun. Masakan yang sihat tu sebenarnya simple-simple saja persediaannya. Satu jenis lauk pun cukup, tak payah berbagai jenis lauk sekali makan macam orang kayangan.
22) Orang kata kalau tak ikut pantang tradisi nanti sakit bila umur 40 tahun? Cakap balik saya dengar nasihat doktor Insyallah sihat, yang penting amalan pemakanan sihat seumur hidup, cergas seumur hidup dan berfikiran positive.
23) Takut bentan? Tiada istilah masalah bentan dalam perubatan. Semua yang dikatakan simtom bentan itu hanya sementara dan pulih semula tanpa ubat-ubatan dan tiada kesan jangkamasa panjang atau penyebab sakit bila tua.
24) Takut meroyan? Postnatal blues itu BUKAN meroyan. 60% ibu yang baru bersalin akan rasa sensitif dan senang menangis selama beberapa hari selepas bersalin sebab perubahan hormon yang mendadak, bukan sebab tak berpantang. Ini akan pulih dalam masa dua minggu.
Apa yang penting ialah sokongan moral dan emosi dari keluarga sendiri, berikan semangat, kata-kata positif dan jangan kritik ibu-ibu dalam tempoh masa ini. Jangan sesekali kata ibu meroyan sebab itu menambahkan stress ibu. Jika ada masalah kemurungan selepas dua minggu atau masalah kesihatan mental sila rujuk kepada doktor untuk penilaian kesihatan dan rawatan.
25) Siapa nak mandikan anak-anak dan layan anak-anak lain? Suami boleh belajar buat dan tolong lah isteri naaaaaaaa. Jadilah suami moden yang boleh membantu isteri, tidak merokok dan berikan moral support kepada isteri sendiri.
26) Jangan lupa merancang keluarga naaaaa. Jarakkan kelahiran selama dua tahun (sekurang-kurang sekali 18 bulan ke atas). Itulah yang terbaik untuk kesihatan ibu dan anak.
27) Junk food? Memang pun tak payah. Pantanglah ini untuk seumur hidup.
28) Takut masuk angin? Yang lebih penting untuk penjagaan kesihatan ialah cegah obesiti, cegah diabetes, cegah tekanan darah tinggi, cegah cervical cancer, cegah penyakit jantung sebab inilah punca kematian pada usia yang muda. Jangan takut masuk angin. Angin tak bersalah.
Janji jangan stress. Bagaimana mengurangkan stress? Baca balik nombor 1 sampai 28.
Semoga bermanfaat.
Selamat bersalin kepada ibu-ibu.
Pakar Maternal & Fetal Medicine
Gambar : Galeri Sentuhan ArifSan