Artikel asal : 12 Febuari 2011
Dikemaskini : 25 October 2025
Kadang-kadang, kenangan yang kita sangka sudah hilang boleh muncul semula dengan satu perkataan, satu gambar, satu lagu atau satu babak filem. Untuk aku, semuanya bermula bila ternampak review Sini Ada Hantu. Sekali pandang, terus membawa aku kembali ke zaman sekolah era 90an. Zaman St. George Girls School, Penang (kini SMK (P) St. George). Zaman asrama, prep malam, kawan-kawan sebilik dan kisah-kisah seram yang hidup dari mulut ke mulut.
SGGS memang terkenal sebagai sekolah perempuan berprestij. Tapi bagi kami yang pernah duduk asrama, sekolah ini bukan sekadar bangunan, ia sebuah dunia dengan ceritanya sendiri. Dan salah satu kisah yang paling diingati ialah cerita tentang clock tower,
MISTERI CLOCK TOWER - CERITA YANG TURUN DARI SENIOR KE JUNIOR
Dulu, senior pernah ceritakan tentang seorang pelajar yang sangat bijak. Dari tingkatan 1 sampai 5, no.1 di sekolah milik dia. Anugerah pelajar sekolah setiap tahun. Nama dia sentiasa disebut, selalu naik pentas terima anugerah, menjadi kebangaan dan harapan cikgu. Ramai tahu dia target straight A+ SPM dan universiti oversea.
Tapi bila keputusan SPM keluar, hidupnya berubah. Dia dapat keputusan yang baik tapi tidak seperti yang dia target. Dia terlalu yakin, terlalu meletakkan harapan dan apabila keputusan tidak seperti yang dibayangkan... dia tidak dapat terima hakikat itu. Menurut senior, malam tu dia naik ke clock tower seorang diri dan terjun. Tempat yang tinggi, sempit dan sunyi.
Aku sendiri pernah tengok clock tower sebab lokasinya bersebelahan dengan pentas sekolah. Bagaimana aku boleh masuk ke kawasan tu? Sebab dulu, jika kami perlu ada latihan tarian, memang pentas utamalah antara lokasi pilihan. Kiri kanan pentas ada beberapa pintu besar, tinggi sebagai laluan keluar masuk. Kami perlu susunatur keluar masuk tarian supaya nampak smooth masa persembahan kelak. Dari dalam dewan sekolah, untuk ke pentas utama perlu naik tangga kecil. Selepas naik tangga, sebelah kanan ialah pentas dan sebelah kiri adalah laluan ke tangga clock tower. Aku dan beberapa rakan sengajalah nak tengok clock tower. Ada tangga tinggi, sempit untuk sampai ke atas. Belum panjat aku dah bayangkan gayat. Memang berkunci tempat tu.
Berbalik pada cerita 'urban legend', keesokkan pagi orang jumpa dia dah tak bernyawa. Sejak dari peristiwa itulah, katanya pintu clock tower di kunci. Pintu masuk ke dewan sekolah pun di kunci dan menjadi satu kesalahan jika masuk ke dewan sekolah tanpa kebenaran cikgu.
Dan selepas malam itu, bermulalah cerita yang kekal hingga sekarang. Ada yang terdengar tangisan perempuan bernada sayu. Ada yang terasa angin sejuk menyentuh belakang leher bila melintas bawah menara tu. Ada yang ternampak bayang panjang bergerak di tangga sempit menuju ke atas. Benar atau tidak? Tiada siapa pasti. Tapi cerita itu hidup dan terus hidup.
KEHIDUPAN ASRAMA YANG PENUH PENGAJARAN, SUKA DUKA DAN SERAM
Warden dan pengawas asrama selalu pesan, "Masa prep malam di sekolah, duduk saja di kelas. Tidak dibenarkan merayau ke kawasan lain dalam sekolah." selain tandas. Itu pun kami akan pergi ke tandas paling dekat dengan kelas. Dan wajib berteman ya. Pesanan demi keselamatan, tapi kami tahu... ada sebab yang lebih halus di sebaliknya. Maklumlah, sekolah kami asalnya ialah sebuah gereja. Keunikkan rekabentuk bangunan lama tersendiri dan terserlah.
Malam di SGGS bukan seperti malam di sekolah biasa. Sunyinya lain. Sesekali anginya terasa lain. Adakalanya auranya pun lain macam. Dan ada kawasan tertentu yang kami sendiri tak berani nak pergi tanpa sebab. Terutama bilik gym dan makmal sains. Setiap inci sekolah itu ada kisah.
KENANGAN YANG KEKAL WALAUPUN MASA BERLALU
Walaupun kisah ini sudah berzaman, ia tetap menjadi sebahagian daripada memori yang membentuk siapa kami. Zaman persekolahan memang begitu, perkara kecil boleh kekal diingatan, apatah lagi kisah seram yang semua orang pernah dengar. Ada yang percaya. Ada yang cakap merapu. Ada yang buat-buat tak kisah. Tapi bagi sesiapa yang pernah bersekolah di SGGS tahu... clock tower bukan sekadar menara jam.
HIKMAH DISEBALIK CERITA
Walaupun tak pasti benar atau tidak, kisah ini mengingatkan kita sesuatu :
Kejayaan bukan segalanya.Tekanan akademik memang berat.Emosi perlu dijaga.Dan apa pun yang berlaku, kembali pada Allah SWT adalah sebaik-baik jalan. Redha dengan ketentuan dariNYA.
Setiap ujian ada hikmah. Ada masa kita faham, ada masa kita perlukan bertahun-tahun untuk melihat hikmah disebalik ketentuan dariNYA.
Cerita yang dikongsikan bukan bertujuan untuk menakutkan sesiapa. Ia hanya sebahagian dari kenangan lama, nostalgia yang hidup kembali setiap kali bila kebetulan aku lalu di hadapan perkarangan sekolah. Atau terbaca kisah kejayaan dan aktiviti terkini SGGS. Dan bagi yang pernah bersekolah di SGGS, kisah clock tower ini adalah antara memori yang tak pernah padam.
Walaupun pintu ke menara jam sentiasa dikunci, ceritanya tetap tidak pernah tertutup.