Serbuk kurma ayam dan daging Adabi kini berwajah baharu. Cantik. Gambar masakan kurma dalam periuk berwarna hitam yang di ambil secara flat lay tampil menyelerakan. Atau aku yang baru terjumpa pek baru ni?
Yelah, aku seminggu sekali baru nak keluar ke Giant, Tesco atau Mydin. Nampak sangat aku masih berpegang prinsip, keluar bila perlu. Hakikatnya, jika takde keperluan, memang aku malas nak keluar. Dok rumah layan movie lagi best.
Bercerita mengenai masak kurma ni, suatu ketika dulu aku paling tak suka masak kurma. Masa sekolah menengah aku tinggal di asrama. Dari tingkatan 1 hinggalah ke tingkatan 5. Dari blurr tersedar baju kena basuh tangan sendiri hinggalah ke level anak hantu. Tapi nakal kami dulu, tak buli anak orang, tak pancitkan tayar kereta cikgu dan tak jahanamkan harta benda sekolah. Apatah lagi melawan dan biadap dengan cikgu.
Berbalik pada cerita Masak Kurma tadi, menu makan di asrama bertukar setiap hari selama seminggu. Dan berulanglah menu tersebut selama sebulan. Mungkin setahun. Entah aku dah tak ingat.
Menu yang paling aku tak suka ialah daging masak kurma digandingkan dengan taugeh masak kicap. Sungguh tak kena kombinasi berdua tu. Dan sebab utama aku tak suka ialah kerana bau rempah. Macam bau rempah orang dalam pantang pun iya juga.
Entah rempah apa tukang masak tu guna. Bau kurma daging tu dah boleh bau masa beratur nak masuk ke dewan makan. Masa tu memang rasa nak nangis sebab setiap kali tiba menu tu, aku hanya makan nasi putih berlaukkan taugeh masak kicap dan sambal belacan. Air sirap.
Bila keluar makan dengan family, aku memang traumalah nak pilih lauk masak kurma dek kerana memori ngeri aku semasa tinggal di asrama. Ngeri woi bila tersentuh bab makan nih.
Tapi jadikan kisah silam satu pengalaman untuk kita ubah perjalanan hidup di masa hadapan. Jika kena rempah atau serbuk yang dipilih, resipi ayam masak kurma memang sedap. Di bawah ni aku share resipi dari Azie Kitchen yang aku gunakan setiap kali nak masak ayam masak kurma. Semoga bermanfaat dan selamat memasak.
BAHAN-BAHAN
1 ekor ayam
5 ulas bawang merah - hiris
4 ulas bawang putih - hiris
1 biji bawang besar - belah 4
2 biji ubi kentang
1 biji buah tomato - belah 2
Rempah penumis - bunga lawang, kayu manis, buah pelaga
3 sudu besar rempah kurma
1 kotak santan kotak - campur air secukupnya
Garam, Gula, Serbuk perasa
Asam keping
1 sudu kecil kerisik
BAHAN KISAR
4 ulas bawang merah
1 inci halia
JOM MASAK!
Panaskan minyak dan tumis rempah penumis dan bawang merah serta bawang putih yang dihiris sehingga kekuningan.
Masukkan bawang merah dan halia yang dikisar. Kacau rata sehingga wangi. Masukkan rempah kurma. Kacau rata. Tumis sehingga rempah kurma terbit minyak.
Masukkan ayam, bawang besar dan ubi kentang. Kacau rata dan biarkan sehingga ayam masak dan naik minyak.
Masukkan santan dan air secukupnya. Kacau rata dan biarkan masak sehingga kuah pecah minyak. Masukkan garam, gula, kerisik dan asam keping.
Akhir sekali, masukkan buah tomato. Setelah kuah naik minyak cantik, bolehlah ditutup api. Siap!